Blogger Widgets

Monday, 14 May 2012

RANCANGAN CHEESEMAN, BARNES & FENN-WU

Setelah tentera Jepun menyerah kalah, Tanah Melayu dikembalikan kepada pemerintahan British pada Ogos 1945. Antara tempoh 1946 hingga 1957, iaitu sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan terdapat beberapa perubahan dalam sistem pendidikan di Tanah Melayu. Perubahan – perubahan yang berlaku dalam tempoh tersebut disifatkan sebagai pembinaan semula sistem pendidikan ke arah menyatupadukan rakyat yang berbilang kaum di Tanah Melayu ini. Sepanjang tempoh tersebut wujudlah beberapa rancangan dan laporan yang mengandungi cadangan – cadangan bagi memperbaiki sistem pendidikan di Tanah Melayu. Antaranya ialah Rancangan Cheeseman, Laporan Barnes, dan Laporan Fenn-Wu
            Rancangan Cheeseman merupakan perubahan pertama yang dilakukan untuk polisi pendidikan di bawah pentadbiran Malayan Union. Objektif polisi pendidikan baru ini adalah untuk membina semula sistem pendidikan demi menjamin setiap jenis sistem persekolahan dapat dikembangkan dengan sepenuhnya. Oleh itu beberapa cadangan telah dinyatakan dalam Rancangan Cheeseman ini seperti
1)     tempat percuma diberikan kepada kanak – kanak yang menghadiri sekolah vernakular diperingkat sekolah rendah,
2)    Bahasa Inggeris diajar di sekolah rendah
3)    Penubuhan 2 jenis sekolah menengah
4)    Perlaksanaan secara penuh Laporan Pelajaran 1938 mengenai pendidikan vokasional
Walaubagaimanapun di bawah rancangan ini, tidak ada rancangan yang berkaitan memupuk integrasi sosial untuk pelbagai kaum. Rancangan ini gagal kerana ia lebih memberi tumpuan kepada peringkat sekolah rendah sahaja dan mengutamakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di semua sekolah di Tanah Melayu.
            Desakan orang melayu supaya sekolah – sekolah melayu diperbaiki serta ditubuhkan peluang – peluang untuk mendapatkan pendidikan telah mewujudkan sebuah jawatankuasa yang diketuai oleh L.J. Barnes. Beliau merupakan Pengarah Latihan Kemasyarakatan Universiti Oxford. Jawatankuasa Barnes berpendapat penambahbaikan sekolah vernakular melayu tidak dapat dilaksanakan tanpa meliputi perombakan semula sistem pendidikan secara keseluruhan. Oleh itu Laporan Barnes mencadangkan supaya pemindahan bahasa pengantar kepada Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu bagi semua jenis sekolah di Tanah Melayu. Manakala Bahasa Cina dan Bahasa Tamil akan diajar secara beransur – ansur sebagai matapelajaran di sekolah kebangsaan sahaja. Ini bermakna Laporan Barnes mencadangkan 2 bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Cadangan – cadangan lain dalam laporan ini termasuklah; mendirikan sekolah menengah moden, rombakan kepada kurikulum asal dengan mengutamakan matapelajaran sains, seni perusahaan dan sains rumahtangga. Cadangan seterusnya; mendirikan maktab perguruan berasrama untuk melatih guru – guru yang memegang Sijil Persekolahan, menubuhkan Jemaah Nazir Persekutuan, menubuhkan Penguasa Pelajaran Tempatan untuk menolong perkembangan pendidikan sekolah rendah dengan memberi bantuan kewangan, serta semua sekolah rendah kebangsaan akan memberi pendidikan percuma kepada kanak – kanak dari darjah 1 hingga darjah 6. Laporan Barnes juga mencadangkan agar murid – murid yang telah menamatkan pelajaran di sekolah rendah boleh meneruskan pelajaran ke sekolah menengah. Walaubagaimanapun laporan ini juga ditentang oleh semua kaum melayu, cina dan india. Ini kerana bagi kaum melayu, mereka tidak berpuas hati dengan pendidikan melayu tidak diberikan keedudukan yang sewajarnya dan sekolah – sekolah menumpang di sekolah inggeris. Manakala bagi kaum cina dan india, mereka menentang penghapusan pendidikan cina dan india kerana bagi mereka pendidikan cina  dan india merupakan satu kebudayaan mereka.
            Laporan Fenn-Wu dihasilkan rentetan daripada penubuhan Jawatankuasa Barnes. Pada 1951, untuk mendapat pandangan terhadap pembinaan semula sistem pendidikan Tanah Melayu daripada komuniti – komuniti lain terutamanya masyarakat cina, Pesuruhjaya Tinggi Sir Henry Gurney telah melantik sebuah jawatankuasa yang mengkaji pendidikan vernakular cina di Persekutuan Tanah Melayu. Dua orang pakar yang berpengalaman dalam bidang pendidikan cina dari luar negara telah dijemput. Mereka berdua adalah Dr. W.P Fenn dan Dr. Wu Teh Yau. Hasil kajian laporan Fenn-Wu menunjukkan pandangan yang berbeza dengan Laporan Barnes dimana laporan ini mencadangkan agar kerajaan British patut memberi galakan kepada orang cina seperti memilih sistem pendidikan yang melibatkan pengajaran ketiga – tiga bahasa iaitu bahasa melayu, bahasa inggeris dan bahasa cina. Laporan ini juga menyatakan sistem pendidikan hendaklah disalurkan kepada matlamat membentuk identity kebangsaan dan sekolah iaitu menyediakan kanak – kanak supaya menempuh semua bidang kehidupan berdasarkan latar belakang kehidupan masyarakat mereka. Menurut laporan ini juga sebarang tindakan untuk memaksa rakyat berbilang kaum supaya belajar satu atau dua bahasa sahaja akan menjejaskan perpaduan antara kaum. Selain itu kerajaan juga patut menambahkan bantuan kewangan untuk pentadbiran sekolah cina dan menubuhkan Kolej Latihan Guru dan Latihan Dalam Perkhidmatan di hujung minggu untuk sekolah cina. Ini supaya dapat menampung kekurangan guru terlatih di sekolah cina. Namun segala penyataan dalam Laporan Fenn-Wu ini tidak dapat diterima terutama dari Malayan Union kerana ia tidak menguntungkan orang – orang Melayu.

No comments:

Post a Comment