Blogger Widgets

Monday, 14 May 2012

EDUCARE & EDUCERE

Pengertian pendidikan (education) sentiasa berubah mengikut perubahan zaman, tujuan dan tugasnya. ‘Education’ berasal daripada dua perkataan Latin iaitu educare (latihan) dan educere (didikan). Maksud didikan lebih menjerumus tentang komponen akliah atau intelek dan matlamatnya adalah kepada pembinaan pemikiran yang bijaksana dan rasional serta pembinaan jiwa manusia yang murni. Manakala latihan pula berfokuskan kepada gerakalaku perbuatan dan bermatlamatkan pembentukan kemahiran motor atau gerakan seperti melakukan sebarang kerja atau aktiviti.
Konsep didikan adalah meluas di mana didikan menzahirkan keupayaan diri atau ‘to lead out’. Dalam erti kata lain, didikan menekankan pembelajaran untuk membina manusia mencapai tahap sedar-kendiri tentang kewujudan diri dalam hubungan makhluk – makhluk lain, alam dan Maha Pencipta. Latihan pula berkonsepkan ‘to train’ mengikut keperluan harian manusia seperti keperluan hidup, keperluan sosial, pembangunan ekonomi dan sebagainya.
Ciri – ciri didikan lebih kepada proses pembelajaran tidak ada akhirnya kerana ia merupakan pembelajaran untuk pebelajaran ataupun pembelajaran untuk menambah ilmu dan kebijaksanaan (learning for the sake of learning). Bagi didikan hasilnya tidak dapat dilihat secara eksplisit sebaliknya dapat dilihat secara implisit (dalaman). Proses pendidikan lebih kepada proses jangka panjang dan tidak ada batas sempadan. Didikan juga bersifat normatif di mana konsepnya lebih ideal dan menyeluruh tentang manusia terdidik. Selain itu didikan juga bersifat bukan instrumental. Didikan mengutamakan pendekatan pemusatan individu dan berpegang kepada pengukuhan kemanusiaan iaitu membina manusia yang bakal rasional, sedar kendiri, berperibadi sejajar sebagai taraf manusia, melebihi haiwan, tumbuhan dan makhluk lain.
Ciri – ciri latihan pula adalah proses pembelajaran yang akan berakhir apabila kemahiran yang diharapkan tercapai. Berteraskan kandungan dan menganggap manusia sebagai ‘tin kosong’ yang perlu diisi (to fill a bucket) dengan berbagai pengetahuan sama ada relevan atau tidak. Pembelajaran pelbagai perkara adalah penting atas alasan dirasakan penting untuk dipelajari. Bagi latihan hasilnya dapat dilihat secara eksplisit dan proses pembelajaran latihan lebih kepada proses jangka pendek. Latihan bersifat tidak normatif kerana terpengaruh dengan aspek sosialisasi iaitu penyedaran manusia untuk memainkan peranan sebagai peserta dalam masyarakat. Latihan juga bersifat instrumental iaitu pembelajaran merupakan cara bagi mendapatkan sesuatu keperluan seperti keperluan ekonomi, sosial, dan politik. Latihan juga mengutamakan pendidikan yang relevan dan pragmatik demi kemandirian (survival) manusia di dalam masyarakat atau pendidikan untuk sesuatu fungsi dan untuk manusia berfungsi.
Contoh situasi didikan ialah apabila seseorang guru telah mengajar sesuatu mata pelajaran seperti sains dengan tujuan untuk memenuhi keperluan sesuatu pekerjaan, di samping itu guru juga mengajar perkara lain seperti nilai murni yang dapat membantu perkembangan pelajar sebagai seorang individu. Manakala bagi situasi latihan pula, seseorang guru mengajar sesuatu mata pelajaran hanya untuk memenuhi keperluan sesuatu pekerjaan sahaja.

No comments:

Post a Comment